السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
Sahabat -sahabat yang dirahmati Allah,
Istidraj adalah perkara luar biasa (kemewahan/kesenangan) yang dikurniakan Allah kepada seseorang tetapi dengan tujuan Allah ingin membinasakannya.
Istidraj adalah pemberian keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang mendapat keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah membinasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa. Bukan sahaja merekalupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.
Contoh-contoh Istidraj :
Contoh 1. Istidraj belaku kepada seseorang yang menuntut ilmu hitam (sihir/ kedukunan/ ilmu batin/ ilmu sesat dan sebagainya). Biasanya seseorang yang menuntut ilmu hitam adalah menggunakan khidmat jin kafir. Dia berpuasa untuk beberapa hari dengan tidak memakan daging haiwan bernyawa, menyediakan beberapa sajen (untuk makanan jin), bertapa (dengan meninggalkan solat fardu) dan ada jampi mentera (memuji dan memuja jin-jin) hingga menjadikan seseorang memiliki kelebihan luar biasa seperti kebal, pijak bara api kaki tidak terbakar, boleh ghaib, boleh mengeluarkan bola api dan sebagainya. Contoh sami hindu dalam perayaan Thaipusam, sami budha yang bertapa dikuil-kuil dan di dalam ilmu-ilmu kebatinan yang sesat. Kelebihan itu semuanya hanyalah hayalan dan dia telah dikuasai oleh jin dan syaitan untuk mengelirukan manusia. Amalan tersebut adalah kurafat dan boleh mendatangkan syirik. Kelebihan ini adalah istidraj dan Allah akan menimpakan bala kepadanya disebabkan dia beramal dengan amalan-amalan syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
Firman Allah :
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Al-A'raaf : ayat 182)
Contoh kedua. Istidraj berlaku kepada pemimpin/pemerintah
Para pemimpin yang berkuasa dan menzalimi rakyat. Tidak mahu menjalankan hukum-hukum Allah dan menghidupkan undang-undang ciptaan manusia, menyekat kebebasan bersuara dan melakukan penipuan, rasuah, merampas hak-hak rakyat maka kekuasaan seperti ini adalah istidraj. Sebab apa dipanggil istidraj kerana walaupun melakukan kezaliman dan penyelewengan pemimpin seperti ini tetap mendapat sokongan, kuasa dan pengaruh dan tidak mudah untuk menggugat kedudukan kekuasaannya.
Perlu diingat bahawa firaun adalah contoh pemimpin dunia yang diberikan istidraj oleh Allah dengan kekuasaan /pemerintahan, akhirnya Allah rentap kekuasaannya dan menenggelamkan dia dan bala tenteranya diLaut Merah kerana kezalimannya sudah melampaui batas .
Firman Allah :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ maksudnya : "Katakanlah: 'Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah Ali-Imran:ayat 26).
Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya. Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejahatan yang terlalu banyak. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa, namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu. Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat daripada kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala 'kemanisan' itu mungkin sekadar istidraj daripada Allah . untuk menyempurnakan kezaliman mereka. Agar bila sampai masa Allah menghukum dan mengazab mereka, tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.
Contoh Istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan.
Apabila seseorang ahli maksiat, suka minum arak, berzina, menipu, mengambil riba dan meninggalkan solat dan puasa tetapi diberikan oleh Allah kemewahan, kekayaan, perniagaan maju dan tiada kerugiaan. Anak-anak berjaya dalam kerjaya masing-masing, rumah banglow, kereta mewah, media masa menyanjungnya sebenarnya ini semuanya adalah istidraj dari segi harta dan kekayaan. Apabila sampai masanya nanti akan datang musibah dan bala dan dalam sekelip mata harta yang dia miliki, perniagaan yang dianggap tak akan rugi dan rakan-rakan sekeliling yang memujinya semuanya akan hilang tanpa diduga. Baru dia sedar bahawa sifat manusia ini adalah lemah dan apa yang dimiliki bukan hak mutlaknya dan pemilik sebenar harta dan kekayaan adalah Allah .
Al-Quran menceritakan istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan yang paling besar adalah berlaku kepada Qarun. Qarun memiliki gedung-gedung menyimpan harta kekayaannya, anak kuncinya saja dipikul oleh 70 orang yang kuat dan gagah. Bayangkanlah jumlah hartanya bukan billion tetapi mungkin ribuan trillion . Tetapi akhirnya Qarun pergi kemana? Dia dan hartanya ditelan bumi kerana enggan bayar zakat dan cuba memfitnah Nabi Musa . Perlu diingat orang-orang kaya dan ahli perniagaan yang suka yang tidak beriman kepada Allah mungkin mereka dan harta mereka akan mendapat nasib yang sama seperti Qarun, caranya Allah sahaja Maha Mengetahui, yang pasti bala daripada Allah akan mereka terima samaada cepat atau lambat.
Nabi bersabda, "Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah istidraj".Lalu Rasulullah membaca (surah al-An'aam ayat 44):
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَMaksudnya: "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."(Hadis riwayat Ahmad)
Contoh Istidraj berlaku daripada kemajuan sains dan teknologi ciptaan manusia.
Islam menggalakan umatnya mempelajari ilmu sains dan teknologi untuk kemaslahatan manusia sendiri. Tetapi ramai mausia telah menyalahgunakan kemajuan teknologi untuk memuaskan hawa nafsunya. Ada dikalangan manusia mempelajarinya dan menggunakannya untuk mendatangkan kerosakakn dimuka bumi. Mencipta bom atom dan nuklear untuk membunuh jiwa manusia yang tidak berdosa. Mencipta berbagai-bagai penyakit dan disebarkan kepada manusia lain dan mencari keuntungan dengan menjual ubat-ubat dan penawar ke atas penyakit yang diciptakannya.
Contoh klasik adalah apa yang berlaku dinegara Jepun baru-baru ini , sebuah negara maju yang mampu mencipta alat pengesan tsunami dan mempunyai simpanan senjata nuklear. Tetapi apabila berlaku tsunami baru-baru ini alat yang paling cangih yang mereka miliki tidak dapat mengesan tentera Allah berupa angit ribut, taufan dan ombak besar hinggakan mengalami bencana besar dan kematian yang tinggi dan berlaku kebocoran di reaktor nuklearnya. Ini adalah tanda awal kemurkaan Allah dan peringatan kepada warga Jepun dan manusia seluruh dunia bahawa kemajuan sains dan teknologi akan menjadi istidraj jika manusia tidak mahu kembali mentauhidkan Allah . Allah akan membinasakan manusia yang engkar melalui kemajuan sains dan teknologi yang mereka cipta sendiri
Sahabat yang dimuliakan,
Semoga di bulan Zulhijjah yang penuh keberkatan ini marilah sama-sama kita insaf dan sedar dan bermuhasabah diri adakah istidraj juga berlaku keatas diri kita? Tanda istidraj adalah apabila kita memiliki harta kita tidak mahu membayar zakat, tidak suka bersedekah dan banyak dihabiskan harta dalam perkara yang sia-sia, dan banyak masa berhibur. Kita ada masa tetapi tidak suka berjihad(dengan harta/kebolehan ), berdakwah dan jalankan kerja-kerja amar makruf nahi mugkar(menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) dan tidak suka menuntut ilmu. Oleh itu pastikan segala amalan dan aktiviti harian kita menjurus kepada keredaan Allah dan mendapat kasih sayang-Nya
والله أعلم بالصواب والله تعالى
أعلىو أعلم
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)
كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
No comments:
Post a Comment