السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
Saudara yang dirahmati Allah sekelian, Agama dalam Islam disebut sebagai ad-Din. Kalimah ad-Din bermaksud tunduk dan patuh. Ketundukan dan kepatuhan ini merangkumi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Oleh yang demikian kefahaman beragama dalam Islam tidak sama dengan kefahaman beragama bagi orang lain. Bagi agama lain, agama hanyalah amalan ritual seperti upacara beragama tertentu yang dilakukan pada waktu tertentu. Beragama dalam Islam bermaksud berpegang dengan himpunan kepercayaan dan kumpulan peraturan kehidupan yang akan membentuk keseluruhan kehidupan seseorang.
Ad-Din yang diterima di sisi Allah pula hanyalah Islam sebagaimana firman Allah:
إن الدين عند الله الإسلام
Maksudnya: “Sesungguhnya ad-Din (agama) yang (diterima) di sisi Allah ialah hanyalah Islam.
Inilah aqidah yang diyakini oleh setiap muslim. Setiap muslim meyakini hanya Islam sahaja agama yang benar. Seorang muslim tidak menganggap semua agama sama. Seruan untuk menganggap semua agama sama adalah seruan kekufuran kerana ia bermaksud kita boleh/bebas memilih apa sahaja agama kerana semuanya nanti akan membawa ke syurga. Semua agama mungkin berusaha untuk mencari jalan ke syurga. Namun, hanya Islam yang membawa manusia ke syurga. Inilah aqidah muslim.
Ia ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
قل يا أيها الكافرون لا أعبد ما تعبدون ولا أنتم عابدون ما أعبد ولا أنا عابد ما عبدتم ولا أنتم عابدون ما أعبد لكم دينكم ولي دين
Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad! Wahai orang yang kafir. Saya tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukannya penyembah apa yang saya sembah. Dan saya sama sekali bukan penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga bukan penyembah apa yang saya sembah. Bagi kamu agama kamu .Bagi saya agama saya.-AlKafiruun 1-6
Kita sebagai seorang Islam mesti merasa megah dengan agama Islam. Kemegahan inilah yang menjadikan kita tanpa segan silu untuk mengamalkan segala amalan agama kita. Malah tanpa segan silu mempromosinya/memperkenalkan mendakwahkanya kepada seluruh umat manusia atas kesedaran untuk berkongsi kebaikan dengan seluruh manusia. Namun demikian , rasa megah ini tidak pula membawa kepada sikap tidak menghormati agama lain. Ini kerana Islam menegaskan bahawa tiada paksaan dalam beragama sebagaimana firman Allah:
لا إكراه في الدين
Maksudnya: “Tiada paksaan dalam beragama.”
Seorang muslim ialah seorang yang menerima Islam sebagai agama. Islam bermaksud menyerah dan tunduk. Iaitu menyerah diri serta tunduk kepada segala kehendak Allah.Malahan, seorang muslim ialah seorang yang bersedia menyerahkan dirinya kepada Allah serta tunduk kepada segala kehendak Allah yang berupa perintah dan larangan.
Syiar hidup seorang muslim ialah :
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
Maksudnya: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam”.
Penyerahan diri ini menjadikan seseorang manusia sentiasa tenang menghadapi segala pancaroba hidup yang berlikau. Dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Dia tidak akan terkeluar dari landasan peraturan yang digariskan oleh Allah. Dia hanya melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Perintah dan larangan Allah pasti membawa kepada kebahagian dan kebaikan. Dengan itu hidupnya sentiasa dalam keadaan bahagia, aman dan tenteram. Segala nikmat diterima dengan syukur. Segala musibah diterima dengan sabar. Seandainya dia di kurniakan dengan kekayaan dia terima dengan syukur dengan cara menggunakannnya untuk jalan kebaikan. Dia tidak akan menjadi pemboros, sombong dan rakus dengan kekayaan sehingga menindas golongan miskin. Malah dia menjadi seorang dermawan. Sebahagian hartanya dibelanjakan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Ini dilakukan dengan keyakinan bahawa itulah yang disuruh oleh Allah. Hartanya adalah milik Allah.Dia terikat untuk membelanjakannnya menurut kehendak Allah. Antara kehendak Allah ialah membelanjakannnya untuk faqir miskin. Inilah hidup seorang muslim yang kaya.
Seandainya ditakdirkan dia miskin pula di terima dengan dada lapang sebagai ujian. Seorang muslim tidak akan menjadi penjenayah untuk mengatasi kemiskinannya. Baginya kemiskinan di dunia tidak bererti miskin di akhirat. Peluang terbuka untuk dia boleh memperolehi keakyaan di hari Akhirat sekiranya bersedia terikat dengan peraturan Tuhan. Justeru seorang muslim yang miskin akan sentiasa redha dengan keadaan dirinya. Dia tidak menyalahkan orang lain. Dan tidak akan menyusahkan orang lain.
الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاء وَاللّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلاً وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan ; sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia . Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengatahui.-Al Baqarah 268
Apabila seseorang menyerah dirinya kepada Allah, segala perbuatanya tidak akan menurut hawa nafsu. Masalah yang dihadapi oleh manusia hari ini ialah sikap ingin memuaskan hati dan kehendak sendiri. Sikap sebegini menjadikan manusia tidak mengambil kira kepentingan orang lain. Nafsu selalu mendorong manusia ke arah kejahatan. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Yusuf 53
Manusia yang hidup bertuhankan nafsu akan membunuh untuk memuaskan nafsunya. Manusia yang bertuhankan nafsu bersedia merompak dan mencuri untuk mendapatkan harta dengan jalan mudah bagi memuaskan nafsu keinginannya. Dia akan melakukan apa sahaja demi kepuasan diri. Akibatnya berlakulah vandalisma iaitu merosakkan harta awam semata-mata untuk kepuasan diri.
Islam menjadikan seseorang itu menjadi manusia yang seimbang. Dia kan menjadi warganegara yang baik untuk negaranya. Ia menjadi penyumbang kepada ketamadunan negaranya. Ia akan bekerja keras demi menyebarkan kebaikan dalam masyarakatnya.
Seorang muslim juga mempunyai akhlak yang baik. Sentiasa menghormati ahli masyarakat baik yang tua atau yang muda. Ini kerana dia berpegang dengan sabda baginda:
اتق الله حيثما كنت وأَتْبِعِ السَّيِّئَةََ الحسنةَ تَمْحُها وخَالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapuskan kebaikan dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
Saudara yang dirahmati Allah sekelian, indahnya hudup beragama dan islam yang menjadi pegangan hidup dan Rahmat Allah kepada hambanya yang serba lemah ini apabila melakukan kesalahan dan dosa Allah memberikan galakan agar kita memohon ampun dan akan diampunkannya
وَمَن يَعْمَلْ سُوءاً أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّهَ يَجِدِ اللّهَ غَفُوراً رَّحِيماً
Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.An-Nisaa 110
والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)
كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
No comments:
Post a Comment